Strok: Kematian Ke-3 Terbesar di Malaysia




Strok adalah punca kematian ketiga terbesr di Malaysia. Hanya penyakit jantung dan kanser mengatasinya. Ia dianggap sebab utama kehilangan upaya yang teruk, dan setiap tahun, dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok. Sesiapa sahaja boleh mengalami strok, termasuk kanak-kanak. Namun, kebanyakan kes menimpa orang dewasa.



Apakah strok?

Fungsi-fungsi otak.

Strok adalah serangan otak dan terjadi apabila bekalan darah ke otak terganggu. Otak adalah pusat saraf tubuh, mengawal setiap yang kita lakukan atau fikirkan, di samping mengawal fungsi-fungsi automatik seperti pernafasan.

Untuk berfungsi, otak memerlukan bekalan darah berterusan yang membawa oksigen dan nutrien yang amat penting. Apabila saluran darah di dalam otak anda pecah ataupun tersumbat, bekalan darah akan terhenti dan sel-sel otak akan kekurangan oksigen dan nutrien.

Bahagian otak itu mula mati. Anda mengalami strok. Dengan pantas, Dengan senyap. Kerosakan otak menjejaskan deria-deria anda, pertuturan dan pemahaman bahasa. Sebelah tubuh mungkin lumpuh, sikap, corak pemikiran dan ingatan terubah.

Serangan Iskemia Sementara (TIA)


Strok Iskemia: Apabila timbunan plak terbentuk di dalam arteri, ia menghalang pengaliran darah, menyebabkan ketulan-ketulan darah beku terbentuk, lalu mengganggu bekalan darah ke otak.

Satu tanda penting ancaman strok adalah Serangan Iskemia Sementara (TIA), juga dikenali sebagai strok mini. Ia berlaku kerana gangguan bekalan darah yang sementara kepada bahagian-bahagian otak. Gejala-gejalanya amat serupa dengan strok sebenar, tetapi, tidak seperti strok yang serius, gejalanya muncul kurang dari 24 jam dan kemudian pulih sepenuhnya.

TIA adalah petunjuk yang sebahagian otak tidak mendapat darah yang mencukupi dan terdapat risiko berlakunya strok. TIA tidak boleh sekali-kali dibiarkan dan perlu dilaporkan kepada seorang profesional perubatan secepat mungkin.
Apakah Yang Menyebabkan Strok?

Terdapat dua jenis strok yang utama, dan setiap satunya mempunyai sebab yang berbeza. Jenis yang pertama, strok iskemia, terjadi apabila gumpalan darah menghalang arteri yang pergi ke otak dan mengganggu bekalan darah. Kerap kali, strok iskemia terjadi akibat dari timbunan kolesterol dan sisa lain di dalam arteri (atherosclerosis) selama bertahun-tahun.

Strok iskemia mungkin disebabkan oleh:


Gumpalan darah: Gumpalan darah tersekat di arteri dan menghalang perjalanan darah.
Trombosis serebrum, di mana darah beku (trombus) terbentuk di arteri utama yang menghala ke otak, menghentikan bekalan darah.

Embolisme serebrum, di mana gumpalan darah terbentuk di saluran darah di bahagian tubuh yang lain, contohnya di leher ataupun jantung, dan dibawa oleh aliran darah ke otak.
Strok lakunar, di mana sekatan berada di saluran-saluran darah kecil jauh di dalam otak.

Jenis strok utama yang kedua adalah strok berdarah, di mana saluran darah di dalam atau di sekeliling otak pecah, menyebabkan pendarahan. Penyakit darah tinggi yang lama dan tidak dirawat menyebabkan tekanan pada dinding arteri, menambahkan risiko ia pecah atau berdarah.

Strok berdarah mungkin disebabkan oleh:

Strok berdarah: Apabila arteri pecah, darah dipaksa masuk ke dalam tisu otak, merosakkan sel-sel sehingga bahagian otak itu tidak dapat berfungsi.

Pendarahan intraserebrum, apabila saluran darah pecah di dalam otak itu sendiri.

Pendarahan subaraknoid, iaitu apabila saluran darah di permukaan otak berdarah dan darah mengalir ke bahagian di antara otak dan tempurung kepala, yang dikenali sebagai ruang subaraknoid.

Siapakah Yang Berisiko?

Beberapa faktor berlainan meningkatkan risiko strok, termasuk: 
  1. Tekanan darah tinggi (hipertensi) yang tidak dirawat. Ini merosakkan dinding-dinding arteri.
  2. Diet. Diet yang tinggi kandungan garam dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, sementara diet yang banyak makanan berlemak dan manis dikaitkan dengan pengasaran permukaan dan penyempitan arteri.
  3. Penyakit kencing manis (Diabetes). Mereka yang menghidap kencing manis mengalami lebih kemungkinan mengalami tekanan darah tinggi dan aterosklerosis, dan oleh itu lebih berisiko mengalami strok.
  4. Pernah mengalami TIA. Dianggarkan seorang dari lima yang mengalami strok penuh pertama, pernah mengalami satu atau lebih TIA sebelumnya.
  5. Fibrilasi atrium. Jenis degupan jantung yang tidak teratur ini meninggikan risiko pembentukan gumpalan darah di dalam jantung, yang kemudiannya mungkin tertanggal dan dibawa aliran darah ke otak.
  6. Merokok. Ini mempunyai berbagai kesan negatif kepada arteri dan dikaitkan kepada tekanan darah yang lebih tinggi.
  7. Tabiat minum (alkohol) yang kerap. Selepas beberapa lama, ia menaikkan tekanan darah, sementara kesukuan minum alkohol boleh menaikkan tekanan darah ke ketinggian yang berbahaya dan mungkin menyebabkan saluran darah di otak pecah.
  8. Sesetengah jenis pil perancang keluarga. Ini boleh menjadikan darah lebih pekat dan lebih berkemungkinan bergumpal. Mereka juga boleh menaikkan tekanan darah.

Faktor-faktor risiko yang tidak boleh dikawal.
  1. Umur. Strok lebih kerap terjadi kepada mereka yang berumur di atas 55 tahun, dan kadarnya terus meningkat dengan umur. Ini mungkin kerana arterosklerosis mengambil masa yang lama untuk terbentuk dan arteri menjadi kurang kenyal dengan pertambahan umur, menaikkan risiko tekanan darah tinggi.
  2. Jantina. Lelaki lebih berisiko mengalami strok berbanding wanita, terutamanya di bawah umur 65.
  3. Sejarah keluarga. Mempunyai saudara terdekat yang pernah mengalami strok meningkatkan risiko, mungkin kerana faktor-faktor seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis cenderung menimpa keluarga.
Apakah Gejala-Gejalanya?

Strok tidak terjadi tanpa amaran. Selalunya, ada tanda-tanda amaran. Dengan mengenali tanda-tanda ini dan mengambil tindakan segera untuk mendapatkan bantuan perubatan, anda boleh mengelakkan strok yang mendatang atau mengurangkan kesannya. Gejala-gejala utamanya adalah:
gejala strok

Apakah Kesan-Kesan Strok?
Kesan-kesan strok berbeza dari seorang ke seorang, bergantung kepada bahagian otak yang mana telah terjejas dan takat kerosakannya. Bagi sesetengah orang, kesannya agak sedikit dan sekejap; yang lain mengalami kehilangan upaya yang lebih teruk dalam jangka panjang.


Kekurangan fizikal selepas strok
  1. Kehilangan pergerakan atau corak pergerakan yang tidak normal di sebelah badan (hemiplegia). Oleh kerana bahagian kanan otak mengawal bahagian kiri badan (dan sebaliknya), hemiplegia terjadi di bahagian badan yang bertentangan dengan lokasi strok.
  2. Koordinasi yang lemah
  3. Perawakan yang tidak normal.
  4. Kesukaran bertutur dan memahami, serta membaca dan menulis.
  5. Tidak dapat mengawal pembuangan najis.
  6. Kehilangan penglihatan separa.
  7. Tidak dapat menelan.
Kekurangan kognitif
  1. Menjadi terlalu awas, cemas dan kelam kabut.
  2. Mudah murung, tidak dapat mengawal emosi.
  3. Konsentrasi yang lemah dalam mempelajari kemahiran baru.
  4. Tidak dapat memahami percakapan/ pertuturan.
Kekurangan tanggapan ruang - persepsi
  1. Tidak boleh mengagak jarak, saiz, kedudukan
  2. Kehilangan rasa di sebelah badan
  3. Kehilangan imej tubuh.

Bahaya kan strok ni. Dalam diam-diam strok ni boleh membunuh. Seriau la pula dengar pasal strok ni. Bukan apa, strok ni boleh berpunca dari pemakanan kita juga. Sekarang kita dah tau pasal strok, gejala-gejalanya, kesannya dan siapa yang berisiko.

Semoga artikel yang saya kongsikan ini memberi manfaat untuk kita semua.

Untuk entry yang lain, saya akan kongsikan pula berkenaan cara untuk menanganinya :)

0 comment... add one now

Pihak EELLEEBEAUTY sangat menggalakkan komentar dari para pengunjung di ruangan komen yang disediakan. Namun kami berharap para pengunjung dapat memberikan komen yang positif dan mengelakkan komen berbaur politik atau perkauman. Segala komentar yang dilontarkan adalah pendapat peribadi pengunjung tersebut dan tiada kaitan dengan pendapat kami.