DISEBALIK ELSA, ULTRAMAN DAN BOBOIBOY KUASA TIGA


"DISEBALIK ELSA, ULTRAMAN DAN BOBOIBOY KUASA TIGA"
10 perkara tentang meneroka jiwa kanak-kanak melalui permainan mereka


Tahukah anda yang dengan memerhatikan anak anda bermain, anda mungkin boleh mengesan gejala awal autism dan ADHD?


Masih dengan mood raya - musim cuti dan perayaan adalah syurga bagi anak-anak untuk bermain. Tidak terikat dengan rutin sekolah, ibu bapa yang lebih fleksible dengan masa dan peluang bertemu dengan sepupu, saudara-mara dan rakan seusia secara automatik menyediakan medium untuk anak-anak bermain. Bagaimana kita nak gunakan masa ini untuk jadi 'therapist' terbaik untuk anak-anak anda.


1. Mulakan dengan beri ruang anak anda bermain.

Sama ada duduk disamping mereka, memerhati dari jauh atau bermain bersama, gunakan peluang ini untuk meneroka perkembangan mereka. Fokus dan beri tumpuan khusus kepada interaksi mereka, bahasa yang mereka guna, pergerakan dan kemahiran yang mereka tunjuk.



2. Dalam bidang psikologi kanak-kanak, ada terapi khas yang dipanggil ‘play therapy’. 

Bermain juga adakalanya menjadi sumber maklumat penting bagi doktor psikiatri menyelidik dunia kanak-kanak. Bermain adalah bahasa kanak-kanak. Permainan pula adalah watak penting dalam kehidupan mereka. Kecelaruan fikiran, kesukaran komunikasi, gangguan orang lain dan pelbagai isu lagi adakalanya hanya terbongkar dalam sesi bermain mereka. Jika anda menyesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan perilaku anak anda, mungkin cara yang terbaik untuk mula meneroka ialah melalui pemerhatian kepada masa bermain mereka.



3. Maka bagi ibu bapa, memerhati anak bermain juga sebenarnya peluang terbaik untuk anda meneliti perkembangan anak-anak dari dunia permainan mereka. 

Peluang ini jangan dilepaskan dengan membiarkan anak-anak sambil anda leka dalam dunia anda sendiri (baca: tengok bola, menghadap telefon, media sosial dan sebagainya).



4. Cara bermain dan kemahiran mereka bermain adalah refleksi perkembangan fungsi kognitif dan psikososial mereka. 

Contohnya umur 1 setengah tahun ke dua tahun, kanak-kanak sepatutnya sudah mampu bermain ‘compelmentary and reciprocal play’ – kanak-kanak boleh main peranan dan bertukar aksi mengikut peranan. Contohnya main acak-acak (peekaboo) dan kejar-kejar.



5. Umur 2 hingga 3 tahun sepatutnya boleh belajar ‘cooperative social pretend play’ – 

Jadi ibu pegang baby, ultraman lawan raksasa dan sebagainya. Pada fasa ini watak dan peranan berlaku secara spontan tanpa perancangan.



6. Umur 3 ke 4 tahun, mereka mampu terlibat dengan permainan diatas dalam kaedah yang lebih kompleks – 

Ada perancangan, giliran dan jalan cerita yang ringkas.



7. Semakin meningkat usia, permainan akan lebih kompleks, fizikal dan fokus. 

Permainan juga akan lebih melibatkan elemen sosial yang dominan – perbincangan, perbualan, meluahkan pendapat dan persetujuan.



8. Melalui permainan, tanda-tanda awal autisme boleh dikesan – 

Jika anak anda mengalami masalah perkembangan dari sudut kemampuan bermain yang tidak sepadan dengan usia, mempunyai minat yang sangat terhad – contohnya minat sejenis kereta dan 'preoccupied' dengan kereta tersebut berhari-hari tanpa mengendahkan permainan lain, tidak mampu berinteraksi dengan kanak-kanak lain dalam permainan, tidak menunjukkan riak wajah seperti kanak-kanak lain ketika bermain, tidak boleh turut serta dalam 'role-play', ‘duduk dalam dunia sendiri’ – ibubapa perlu alert dengan kemungkinan ciri-ciri autisme.

Begitu juga dengan ciri-ciri ADHD - tidak boleh duduk diam setempat lebih dari 2-3 minit, sentiasa bergerak, melompat dan memanjat tanpa memikirkan kesan, tidak boleh menunggu giliran ketika bermain, tidak boleh mengikuti aktiviti yang memerlukan tumpuan yang lama dan kompleks - semua ini boleh dibongkar melalui pemerhatian ketika masa bermain.



9. Bahasa yang anak guna bermain juga boleh memberi klu kepada anda. Perkembangan bahasa, pengaruh luar – 

Sekolah, rakan-rakan dan isu yang mereka sebut dalam bermain. Contohnya anak-anak yang terdedah secara tidak langsung dengan bahan seksual, berkemungkinan cenderung dengan bahasa berbaur seksual dalam permainan.



10. Dalam bermain juga ada elemen pendidikan yang penting diterapkan kepada anak-anak secara pasif. Contohnya bersabar, hormat hak orang lain, berkongsi, kemahiran dan kreativiti. Pilihlah permainan yang bersesuaian untuk mereka meneroka kemampuan dan perkembangan mereka, sesuai dengan usia mereka. Ia tidak perlu mahal dan tidak semestinya benda yang baru. Be creative and imaginative.

Sumber: FB Dr Rozanizam Zakaria

0 comment... add one now

Pihak EELLEEBEAUTY sangat menggalakkan komentar dari para pengunjung di ruangan komen yang disediakan. Namun kami berharap para pengunjung dapat memberikan komen yang positif dan mengelakkan komen berbaur politik atau perkauman. Segala komentar yang dilontarkan adalah pendapat peribadi pengunjung tersebut dan tiada kaitan dengan pendapat kami.