Ziarah Dua Masjid Suci Umat Islam

Alhamdulillah tanggal 26 Disember 2015 daku telah menerima panggilan ilahi untuk menziarahi dua masjid suci umat islam, yakni Masjidil Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah. 



Persediaan

Saya mendapat pengesahan dari pihak travel yang mana tarikh keberangkatan kami telah pun ditetapkan pada 26 Disember 2015 sebulan lebih awal. Memandangkan ini kali pertama saya bakal mejejakkan kaki ke Makkah, perlulah saya membuat sedikit rujukan bagi mempersiapkan diri akan keadaan di sana. 

Setiap bakal haji dan umrah telah diwajibkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi supaya menerima Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis  mewajibkan semua jemaah Haji untuk menerima suntikan vaksin meningitis sebelum berlepas bagi memastikan tahap kesihatan mereka terjamin. Suntikan pelalian ini biasanya efektif untuk tempoh 3 tahun, jadi sekiranya tempoh pelalian anda belum mencecah 3 tahun, anda tidak perlu mengambil suntikan lagi dalam tempoh tersebut. 



Oh ya, untuk makluman para pembaca sekalian setiap wanita (berumur 45 tahun ke bawah) yang ingin berkunjung ke Arab Saudi dan beberapa negara timur tengah wajib ditemani oleh seorang mahram (cth: bapa, datuk, adik-beradik lelaki) atau suami. Kunjungi Yana kali ini adalah disamping suami dan kebiasannya bakal umrah perlu menyerahkan sijil nikah original kepada pihak travel bagi urusan pengesahan hubungan muhrim yang pengesahannya hanya boleh dibuat oleh wisma persekutuan sahaja. 

Persediaan spiritual. 

Memandangkan encik suami mempunyai pengalaman berkunjung ke tanah suci sebelum ini, mudah lah bagi Yana untuk bertanyakan soal persediaan dan tatacara ibadat Umrah itu nanti. Namun jangan risau, pihak travel kebiasannya bakal menyediakan kursus persediaan untuk setiap bakal jemaah. 

Persoalan mengenai tawaf, sai'e dan tahalullul sering bermain di fikiran Yana. Suami juga banyak menerangkan kisah disebalik bermulanya amalan ritual tawaf dan saie tersebut. Umpamanya ibadat saie yang mengambil iktibar dari kisah Siti Hajar yang berkejar-kejar mencari air untuk anaknya Nabi Ismail a.s. 

Persediaan kelengkapan

Para bakal umrah perlu memakai ihram sebelum boleh menunaikan ihram. Untuk lelaki, mereka diwajibkan untuk memakai kain ihram berwarna putih dan dilarang sama sekali untuk memakai sebarang pakain berjahit. Sebarang perlanggaran pantang larang ihram diwajibkan untuk membayar dam. 



Manakala untuk wanita, mereka boleh memakai pakaian kebiasaan solat mereka untuk ihram selagi mana ianya menutup aurat. 

Para bakal jemaah umrah juga biasanya dinasihatkan untuk membawa ubat-ubatan seperti paracetamol, minyak sakit urut, ubat selsema, krim kulit dan sebagainya bagi menghadapi perubahan cuaca di sana. Keadaan cuaca di Mekah dan Madinah umumnya sentiasa panas kering kecuali di penghujung tahun (november,disember) sehingga awal tahun (januari) dimana musim ini dikenali sebagai musim sejuk. 

Sekiranya anda bakal melaksanakan ibadat umrah pada musim sejuk, Yana ingin menasihatkan para pembaca supaya membawa bekalan stokin mencukupi (>6-8 pasang) serta baju sejuk bagi sesiapa yang kurang tahan dengan cuaca sejuk. 



Pertukaran matawang

Urusniaga di Saudi biasanya dijalankan menerusi matawang rasmi mereka KSA Riyal dan juga Dollar Amerika USD. Anda boleh memilih untuk menukar wang anda di Malaysia ataupun di Saudi. Kebiasaannya, anda bakal menikmati kadar pertukaran yang lebih baik di Saudi berbanding di Malaysia. Kadar tukaran di Malaysia pada Disember 2015 untuk RM 100 adalah bersamaan 82 Riyal di bank dan 83 di Money changer. Kadar tukaran di Madinah pula adalah sebanyak 84-85 riyal untuk RM100. 



Suami memberitahu bahawa kadar tukaran ringgit sangat merosot berbanding masa yang sama pada tahun lepas. Pada Disember 2014, RM 100 adalah bersamaan 113-115 Riyal dengan kerugian sekitar 28-30 riyal untuk setiap RM 100 pada tahun 2015. Boleh tahan! Walaupun kebanyakan matawang asia yang lain merosot pada tahun 2015, matawang saudi tidak terjejas ekoran tambatan riyal kepada dollar Amerika USD menerusi perjanjian petrodollar. 

..

Kaum wanita (perlukah ambil pil perancang/suntikan)

Untuk kaum wanita yang berhasrat mahu mengerjakan umrah dan beribadat di sana tanpa risau akan datang bulan, ada dua kaedah untuk anda ambil. 

1. Suntikan
2. Ubat perancang. 

Ubat perancang perlu diambil selepas period normal selama tempoh yang dihajati. 

Sila ambil nasihat doktor sebelum mengambil mana-mana kaedah ini untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. 



Bermula lah sebuah perjalanan. 

Ada dua cara untuk bakal umrah berziarah ke Saudi iaitu samada melalui Mekah dahulu ataupun Madinah. Menurut suami, dahulunya bakal umrah dan haji akan mendarat di Lapangan terbang Jeddah sebelum memilih halatuju masing-masing. Untuk yang memilih ke Mekah terlebih dahulu, mereka kebiasaannya akan bermiqat di dalam kapal terbang dimana juruterbang @ pilot akan memaklumkan para jemaah saat dimana kapal terbang akan melalui miqat dan jemaah bolehlah berniat pada saat itu. Manakala bagi yang memilih untuk menziarahi Madinah dahulu, mereka perlu mengambil khidmat bas atau van yang mengambil masa sekitar 5-7 jam. 

Semasa memilih pakej, suami memilih pakej untuk terus ke Madinah. 

Berdasarkan maklum balas dari saudara dan juga suami, pengalaman di airport Madinah adalah lebih baik berbanding di airport jeddah. Selain airport yang lebih baru,luas dan selesa, cara pengendalian jemaah yang baru tiba juga adalah lebih cepat dan lebih baik. 



Tempoh menunggu 2,3 jam sebelum melepasi imegresen adalah normal di Jeddah. Namun segala-galanya lebih cepat di Madinah dengan tempoh pengendalian kurang 30 minit. 


Setibanya di Madinah...

Apabila bas datang menjemput kami di airport, tiada apa lagi yang terlintas difikiran Yana selain dari mahu cepat-cepat menziarahi Madinah. Bas kami tiba di hotel sekitar pukul 2 pagi dan waktu subuh pula pukul 5:40 lebih. Jadi suami menyarankan kami agar tidak tidur bimbang terlajak perahu pula. 

Bila jam menunjukkan waktu 4:30, suami menyarankan agar Yana bersiap-siap supaya tidak lewat ke masjid. Sebagai panduan kepada rakan-rakan yang lain, ambil lah masa sekitar 1 jam sebelum masuk waktu untuk bersiap ke masjid agar dapat peluang masuk ke masjid. Dan jikalau boleh, kita sudah memulakan perjalanan ke masjid 20 minit sebelum azan. Untuk mengetahui waktu solat disana, anda boleh memuat turun aplikasi muslim pro di appstore mahupun di playstore. 

Bila kita tahu bila masuknya waktu solat, senang sedikit untuk kita merancang pergerakan kita. 


Tempat menarik untuk dilawati

Kebiasaannya sudah termasuk dalam pakej umrah untuk ziarah ke tempat-tempat bersejarah disini. Tempat seperti Masjid Quba', Masjid Qiblatain, kebun tamar dan macam-macam lagi bergantung kepada travel masing-masing. 



Aktiviti yang boleh dilakukan di madinah

Sekiranya anda tidak berkesempatan untuk ke kebun tamar, anda boleh melawat 'dates market' yang terletak kira-kira 10minit masa berjalan dari masjid nabawi. Yana berkesempatan untuk mengunjungi kebun tamar di Madinah. Ia sebenarnya hanyalah sebuah mini market yang menjual tamar, kismis dan pelbagai lagi barangan, cuma bagi menghidupkan suasana penyedia market tersebut menanampokok tamar di sekeliling market tersebut. 

Harga tamar ajwa disini adalah berbeza mengikut gred dimana bermula pada harga SR 50 hingga SR 70 bergantung kepada gred. 




Taibaa, Bin Dawood dan ......

Adalah menjadi suatu kewajipan bagi jemaah Malaysia untuk melontar riyal di gedung-gedung membeli belah tersohor disini. 





Untuk jemaah yang berminat untuk membeli jubah, bolehlah masuk ke gedung Taibaa yang terletak berhampiran pintu no 18 masjid nabawi. 

Jubah wanita biasanya dijual 120-130 sepasang di kedai tepi kaki lima hotel, jika ditawar pun hanya boleh kurang sampai 80 riyal sahaja. Jangan terkejut kerana di Taibaa, jubah tersebut dijual hanya dengan 60 riyal. Silap-silap kalau borong lebih dari 5, anda boleh dapat hanya dengan 50-60 riyal sehelai. Jadi gunakan lah skill tawar menawar anda disini ya. 



Oh ya, jangan risau jika anda tidak pandai bercakap arab atau pun speaking english disini kerana english level 6 Muet pun belum tentu laku disini kerana orang arab memang tak pandai cakap english. Guna je bahasa melayu kebangsaan anda kerana peniaga-peniaga disini agak fasih dengan bahasa perniagaan. Kalau setakat nak cakap nombor 1-1000 tu boleh sangat. Jangan terkejut tau kalau diaorang panggil anda , "kakak masuk sini, ada jubah murah-murah" dan "Malizia (Malaysia) lihat dulu, ada jubah cantik". 

Saat ini Yana sudahpun berada kira-kira 3 hari di Malaysia. Masih terasa effect jetlag dan perbezaan 5 jam dimana pukul 12 tengah malam masih terasa segar susah nak tido. Manakala selepas bangun solat subuh pun masih lagi rasa nak sambung tidur. Hehe. 


Hihi. Rasanya cukup setakat ini sahaja coretan part 1 dari Yana. Mungkin jika ada kesempatan, Yana akan sambung part 2 dimana Yana dan Suami ketika berada di Makkah dan mungkin sedikit coretan ketika balik ke Malaysia. 






0 comment... add one now

Pihak EELLEEBEAUTY sangat menggalakkan komentar dari para pengunjung di ruangan komen yang disediakan. Namun kami berharap para pengunjung dapat memberikan komen yang positif dan mengelakkan komen berbaur politik atau perkauman. Segala komentar yang dilontarkan adalah pendapat peribadi pengunjung tersebut dan tiada kaitan dengan pendapat kami.